Dec 13, 2010

Nikah..

Berat gua nak menjelaskan..Tapi gua ingat sudah sampai masa gua mengaku jugak..

Gua Sudah Menikah..Sekian

Nov 2, 2010

Courts..

Pertama kali gua dengan secare tidak langsung kena bertugas menghantar sorang awek bangsa india bername malar pergi ke bandar. Kawan angah. Mau dating katanya. Yang gua heran die ade sebijik kereta orang sweet2 dari jenama Honda. Gua syak die nak save minyak.

Sambil sembang2, awek tu pun cakap la kat mane nak drop die..

Malar : nanti u drop i kat depan courts mummys eh..

Gua : kah kah kah nanti gua update entry kah kah kah..

Oct 27, 2010

Mati..

Sesungguhnya..janganlah kalian sesekali menganggap blog gua sudah mati.

Beliau cuma berehat seketika.

Sekian, terima kasih.

Oct 6, 2010

Enam..

1. Gua syak lucky number gua ialah no 6.

2. Kalau ada anak 6 orang meriah tak?

3. Dah 6 hari gua tak update entry.

4. Gua nak kasi cukup koleksi kasut gua jadi 6 pasang. Skang dah ada 5.

5. Tiap2 tahun gua eksaited nak tunggu bulan 6.

6. Hari ni 6 haribulan.

Sep 30, 2010

Sebelum & Selepas

Sebelum raya gua peluk 3 bantal pun tangan gua boleh bertemu kiri kanan.

Selepas raya gua mampu peluk 2 bantal je. Tu pun tipis2 je jari gua nk capai jari tangan satu lagi.

 

Sebelum raya ramai orang asek2 nak puji gua nampak kacak berseri bersixpack.

Selepas raya ramai orang pandang gua pun sambil lewa je sebab dorang tak kenal gua. Perut dah merebak ke tulang belakang dorang kata. Tapi budak2 kecik kenal gua. Ni sure2 pasal duit raya. Cett!!

 

Sebelum raya kereta gua punya prestasi bukan main mantap. Setakat iswara aerobeck kereta kebal rilek2 je penjejak badai gua kitai.

Selepas raya perodua kancil 850 turbo kaciss pun kereta gua tak bole pegi.

 

p/s : Jangan merajuk penjejak badai. Gua sayang lu..

Sep 21, 2010

Open Haus..

 
Bersempena Eidulfitri 1431 Hijrah ini, gua mewakilkan seluruh krew produksi , operasi, pemprosesansi dan pensusulansi Bank Rakyat Cawangan Puchong dengan kerendahan hati menjemput tuan2 dan puan2 ke majlis rumah terbuka kami pada 22 September 2010 bermula 2.30 ptg – 5.00 ptg.

Semoga dengan kehadiran tuan2 dan puan2 dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim antara kita dan sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Bank untuk terus maju pada masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

 

p/s : Semua perbelanjaan adalah ditanggung oleh pihak Bank. Gua tukang jemput sahaja.

Sep 20, 2010

"Jumping Lemang Raya"

Lepas2 program melantak di hari raya memang sesuai kalau2 kita pergi uji kemampuan dengan bersukan. Tidak kira la ape bentuk sukan yang lu orang into. Renang 400 meter gaya kupu2 ke, pukul2 kat driving range ke, sepak raga kat pagar jiran sebelah dan macam2 lagi. Tapi gua rasa badminton jugak yang into dengan kondisi gua. Tak berat tak ringan.

Sempena hari Satu Malaysia miggu lepas, Mijie ‘Say yor’ menganjurkan satu perlawanan badminton antara benua Lembah Klang yang bertempat di JJB stadium Setapak (Bukan Wigan). Ini jam la keupayaan perut selepas raya gua diuji. Selesai 8 set gua tibai, Arip Samat pun bersuara..

 

“Gua nampak lu punya jumping smash ini malam ada lain macam sikit”. Arep

“Ape yang lain Rep?”. Gua

“Biasa lu jumping smash mesti kaki lu terangkat dalam 1 kaki dari paras laut. Tapi ini malam kaki lu naik dalam 1 inchi je dari paras laut”. Arep

“Biasala Rep, jumping lemang raya”. Gua




 

Sep 13, 2010

Raya! Raya!! Raya!!!

 
Hari raya tahun ni pun berlalu dengan suasana meriah macam biasa. Mana taknya, umah atok gua full house sampai ke generasi cicit walaupun atok dan nenek gua dah tak ada. Rumah gua pulak sudah stenbai jadi pusat sehenti ke-2 kalau2 rumah atok gua tak berupaya nak menampung ahli2 yang terlalu ramai. Lebih 50 orang jugak la.

Stok buluh lemang memang ambik kat belakang rumah gua yang menjadi pembekal setiap tahun. Adik gua featuring pakcik gua yang rajin ini tahun. Gua rilek2 dulu sebab mau angkat kontrak parut dan perah kelapa. Ambik buluh sudah tak into sebab nyamuk banyak. Habis pulak wajah mulus gua ni nanti.

Kat dalam umah, adik ipar gua sudah ambik kontrak anyam ketupat. Ini lagi gua tak into. Sejarahnye gua penah nak blaja anyam ketupat 20 tahun dulu. Tapi pakcik gua dengan eksennye tanak ajar gua secara intensif. Gua berjaya hasilkan sebijik ketupat je selepas berusaha dari tengahari membawak ke petang. Gua fobia.

Pagi raya seluruh ahli keluarga gua akan buat perhimpunan bermaafan sambil budak2 bawak beg sandang nak letak duit raya takut2 tak muat poket. Gua sudah stenbai 30 peket duit raya (nilai dirahsiakan) sebab tahun lepas gua bawak 50 peket tak habis. Gua meleset lagi tahun ni. Tak cukup!! Terpaksa la gua buat loan jangka pendek kat pakcik gua sebab dia bawak lebih peket.

Tu la sedikit sebanyak pengalaman gua raya tahun ni. Lu orang pulak apa macam?

Sep 7, 2010

2018 - Berbuka Puasa

Gua mundar mandir di balkoni rumah teres 2 tingkat gua sambil memikirkan alasan nak berbuka di luar. Jam pula sudah hampir pukul 5. Tiba2...

Truuut..Truuut..

"Hello, this is Nasrun's crib. May i help u". Gua

"Cet, lu dengan gua jangan nak speaking2". Ptos

"Chantek bro. Lu la penyelamat". Gua

"Apesal?". Ptos

"Jom buke pose kat Nasi Ayam Mancongkam Millenia". Gua

"Apesal lagi?". Ptos

"Gua dah bosan hari2 anak gua ajak makan Extravaganza Combo kat Key El Ef See". Gua

Sep 5, 2010

Janda anak 2..

Seperti biasa sebelum beraya, geng2 elit gua mesti mengadakan majlis pembukaan puasa ditempat baik kemudian terus beribadat. Tapi malangnya tempat2 baik ni pasti tiada meja kosong untuk berbuka kalau2 lu orang booking lambat.

Jadi kami pun beribadat la dahulu sebelum berbuka puasa. Selesai beribadat kami pun bermesyuarat la untuk decide mahu makan kedai apa. Ikut2 hati gua makan roti pandan sweetie pun sudah cukup. Tapi atas dasar elit, budak2 ni ajak makan restoran2 mewah siket. Level2 KFC.

Sambil2 mesyuarat si Alem pun melaporkan la jantina bakal anak dia..


Alem : "Ituhari bini gua sudah scan. Baby girl la."

Joe : "Huh..Kalau gua punya kes, sebelum scan gua dah tau jantina anak gua."

Gua : "Gile gempak lu Joe."

Joe : "Memang la..Kan gua nak kawin dengan janda anak dua."

Sep 2, 2010

15 Hengget..

 
Demi mencari keperluan perayaan yang belum sempurna, gua bertemankan tetunang gua pergi la ke Jalan T.A.R kalau2 boleh jumpa baju melayu warna darah manis. Memang dah ditakdirkan gua terpaksa beli baju melayu standard2 rekaan Bernard Chandran sebab yang biasa2 memang tak jumpa warna darah manis.

Akhirnya gua ketemu juga dengan baju melayu warna darah manis kat dalam wisma konfiden (yakin) yang membuatkan gua boleh menarik nafas lega walaupun pinggang gua sudah ada rasa sakit enjit2 semut. Giliran tetunang gua pulak mau mencari barang sehalai dua tudung di kedai abang Pakistan. Kedai akak Melayu biasa2 tak into.

 

******

 

“Berapa satu selendang ni?”. Tetunang

“Satu seploh, angkat dua doploh”. Abang Pakistan

“Ok, angkat dua lah”. Tetunang

 

Selang dalam 20 meter dari kedai abang Pakistan, terserempaklah tetunang gua dengan kedai akak Melayu biasa2 yang kebetulan menjual selendang iras2 yang baru dia beli tadi.

“Berapa satu selendang ni kak?”. Tetunang

“Satu Sepuluh hengget, tapi ambik dua kira 15 hengget je la dik”. Akak Melayu biasa2

“Errkk….”. Gua



 

Sep 1, 2010

FREE

 
Sempena hari merdeka semalam gua pun berselera nak jalan2 cari pasal sambil2 menyelam minum air membeli baju raya. Tapi gua tak minum la kan sebab puasa2 ni. Itu kan peribahasa. Btol? Tapi gua maseh bermurung sebab baju raya gua belum jumpa2 lagi. Sebab nak cari kaler merah2 darah manis. Memang mencabar sebab dah dekat 18 bijik kedai gua keluar masuk. Tak jumpa.

Tapi bukan sepanjang hari gua bermuram durja. Lebuhraya LDP sudah membikin hari gua ceria gumbira sebab bersempena hari merdeka semalam, gua syak tokeh konsesi LDP berbaik hati mahu membayar zakat. Sepanjang hari LDP menawarkan perjalanan indah bebas tol. Dekat 8 kali jugak gua sengaja2 lalu tol area LDP sebab nak rasa tol percuma.

Padahal sebelum 1st time sampai kat tol, gua dah stenbai note RM50 nak kasi bayar tol yang bernilai cuma RM1.60. Biasala sebagai warga Lembah Klang gua kena ada rasa eksen sikit mau tunjuk kat jurutol yang gua ni berduit walaupun hanya memandu kereta buatan tempatan.

 

******

 

Gua pun hulur tangan beserta duit RM50 dengan niat eksen nak bayar tol..

 

Awek tol : “Hari ni FREE la bang.”

Puaka

 
Pembuka bicara gua harus dimulakan dengan permohonan maaf sebab sudah mencecah seminggu lebih gua tidak menyediakan bahan bacaan baru untuk blog gua. Pun begitu gua tanak kasi alasan puasa mengeringkan idea gua sebab sepatutnya bulan puasa la kita patut jadi lebih sehat dan kuat. Siap boleh pegi perang.

Tapi kenapa kebanyakan orang yang bertamadun masih lagi sukar mencari kekuatan untuk menyempurnakan  amalan berpuasa dengan sempurna? Perlukah mereka di “flying kick” di bahagian pundi untuk mereka kembali kepada kesedaran mereka? Ataupun di “upside down” kan di dalam kawah memasak bubur lambok?

Gua tertarik dengan kes2 ‘bercanda’ disiang hari yang berjaya dikesan dan dicekup oleh pihak berkuasa. Kebal sungguh mereka2 nih. Kalau gua memang pikir 18 ratus kali beb. Sanggup ke lu orang mau ganti puasa 2 tahun tanpa rehat? Tu belum kira fidyah yang nak kena bayar. Habes jugak seminggu gaji Azman Adnan time2 main dengan Selangor dulu.

Siapa2 yang berminat mahu jadi puaka memang boleh follow itu macam punya perangai. Gua puasa2 ni sopan beb. Usik2 pun tak into.

Aug 15, 2010

T.A.H.A.N

 
TAHAN adalah satu perkataan yang bermaksud luas jika diperbincangkan dari segi bahasa, teknikal dan nama khas. Jika dipandang dari sudut bahasa, TAHAN diambil dari suku kata TA-HA-NA yang bermaksud menanggung dan menghalang. Manakala dari sudut teknikal, TAHAN bermaksud meneguhkan jiwa dan menetapkan tekad untuk menjadi sekeras kerikil menahan pelbagai dugaan. Sebagai tambahan, perkataan TAHAN juga diguna dalam nama2 khas seperti Gunung TAHAN, Insurans TAHAN dan lain2.

Walaupun muqaddimah gua agak2 panjang kali ni, gua harap lu orang masih lagi boleh berTAHAN untuk terus membaca sebab sebenarnya gua nak perjelas benda lain yang berkaitan dengan TAHAN ni. Kerana fokus gua kali ini lebih kepada hati, perasaan dan nafsu berketepatan juga dengan bulan Ramadhan ini.

Gua nak start dengan nafsu dulu sebab benda ni punya penangan memang lain macam. Sekali lu terlanjur  memang dah macam telajak kata dia punya akibat. Dah tak boleh undur2 macam telajak perahu. Sebab tu sekarang ni bersepah gua tengok kes buang bayi. Belum cerita lagi kes masuk kedai makan Ah Seng ikut pintu belakang terbukak separuh. Ni semua punca gagal TAHAN nafsu la ni.

Hati dan perasaan pulak boleh dikatakan 2 benda yang hampir2 sama sebab hati lah benda yang menghasilkan perasaan. So, bersempena bulan Ramadhan ni jugak gua nak mintak sedikit tips berguna dari lu orang. Macamana nak TAHAN perasaan rindu?

Aug 10, 2010

Puasa..

 
Seperti biasa sudah setahun lagi perjalanan blog gua jika diambil kira daripada bulan puasa tahun lepas. Maseh banyak lagi yang tertangguh. Maseh banyak lagi yang tak tertunai. Jadi seperti biasa sekali lagi kita diberi peluang untuk menebus segala kekurangan yang digendong daripada tahun lalu.

Untuk gua pulak, nampaknya tahun ini akan memberi satu cabaran baru di mana gua akan bersahur berseorangan memandangkan ahli2 rumah bujang gua telah menyahut seruan berkeluarga. Tapi gua pandang perkara ni dari sudut positif. Pasti ada hikmah.

Jadi dikesempatan ini ingin gua menyeru tuan2 dan puan2 serta diri gua sendiri untuk mengambil segala kesempatan dan kelebihan yang dihidangkan ketika bulan puasa ini. Sekiranya ada kekhilafan, ingin juga gua menyusun jari memohon ampun dan maaf sebagai salah satu persediaan menyambut puasa. Tuan2 dan puan2 usahlah risau kerana kamu semua telah gua maafkan seadanya.

Akhir kata. Selamat berpuasa..

Aug 6, 2010

Tazkirah..

 
Orang bilang jiwa yang syahdu bisa diubat melalui penulisan dan juga secara lisan ke saluran yang bersesuaian. Bagus juga blog ni ditubuhkan sebab boleh jadi satu medium untuk menyalurkan sebarang rasa dan ekspresi penulis. Hari ini saya menulis dengan gaya penuh skema kerana saya percaya lenggok penulisan juga boleh menjadi terapi kepada masalah jiwa. Kenapa anda menghadapi masalah? Bila  anda menghadapi masalah? Apa punca masalah anda? Bagaimana anda boleh menyelesaikan masalah itu? Tersebut adalah soalan2 lazim yang akan dipersoalkan oleh kebanyakan pakar2 terapi jiwa. Barangkali. Hakikatnya kita perlu berbalik semula kepada fitrah kita yang berpaksikan iman dan amal. Kenapa saya berkata begitu? Sebab kebanyakkan pejuang tabligh juga sering menggunakan modal yang sama ketika mengetuk pintu2 bilik kita ketika di alam kampus. Barangkali. Oleh yang demikian, penyelesaian sesuatu permasalahan sebenarnya perlu dirujuk & dipohon daripada Maha Pencipta. Jadi, renung2 kan dan selamat beramal. (Dengan antonasi Prof Izzi Hj Ali). Sekian  

 

Notajiwa : poyo tak gua?

Aug 3, 2010

"Eh, ini gambar saya!"

 

Ada satu kes sudah jadi pada gua punya pelanggan. Dia datang mengadu2 cakap duit dalam akaun simpanan sudah hilang dekat2 RM3,000. Dia sudah syak kad atm dia sudah hilang sekejap2 macam biskut.

Kami pun macam biasa dengan penuh diplomasi sudah kasi nasihat sama ini kakak suruh dia berbincang dengan si suami. Sebab sudah banyak kes ala2 kes kakak ni sudah jadi. Sebab para isteri terlalu sayang sama suami yang akibatnya memakan diri.

Tapi kakak ni berhati waja. Dia mahu kasi report sama polis untuk usha kami punya kamera litar tertutup (CCTV). Kami berdiplomasi lagi. Tau2 dia memang sudah kasi report sama en polis. Ok, fine!

Hari yang dinanti sudah tiba. Semalam, ini kakak datang sama2 dengan suami dia mau usha bilik server tempat letak skrin kamera cctv. Lalu tercetuslah sepatah dialog yang menjadi bukti kukuh.

 

******

 

Suami : “Eh, ini gambar saya!” (dengan loghat jawa yang pekat)

Jul 30, 2010

Minit?

Ini hari gua ada meeting loan review dengan gua punya orang atasan. Dari semalam gua dah luntur selera nak makan sebab kena siapkan report2 yang ternyata mustahil untuk diselesaikan. Badan gua pun sudah tangkap semacam punya lesu membawak ke pagi ni.

Seingat gua paling last gua tak angkat sarapan, adela dalam tahun lepas. Tapi rekod tu pecah pagi tadi. Gua mati selera nak ngadap makanan. Gua tukar ngadap komputer. Bos gua pun dah naik musykil tak penah2 dia Nampak gua pagi2 ada kat meja.

Gua pulun bikin report ayat2 macam ceo kampeni gempak sampai ke pukul 10. Cukup pukul 1030 bos gua pangiil asuk dalam bilik meeting. Adrenalin gua memang dah nak meletus time2 camni. Masuk2, duduk2, sembang2, bos gua pun nak cari siapa sudi buat minit meeting. Kriteria dia cakap cukup simple. Bersemangat, kacak, dan bergaya.

 

Bos : “Ok Nasrun. Saya Nampak kamu je la yang memenuhi criteria. Dari pagi kamu dah duduk kat meja.”

 

Gua pun angguk lalu mula menulis tanda setuju. Adrenalin gua beransur surut. Gua buat minit?

Jul 27, 2010

Gua gusar..

 
Minggu lepas hidup gua berlangsung malap. Hati gusar, perasaan tak menentu, jiwa celaru. Senin macam biasa ada sindrom ‘monday blues’. Ni pun gua tak berapa nak mengerti. Apesal asal hari senin je blues datang? Kasi la duit datang ke, awek cun datang ke. Bole? Gua rasa macam hidup gua kurang sesuatu. Gua gusar.
 

Gua harap2 hari selasa ada sedikit kemajuan. Ternyata getusan gua meleset. Perasaan kerja tanpa bos akan berakhir hari ni. Bos baru sudah mau masyuk hari rabu. Sudah tak boleh enjoy2, sudah perlu bertali leher, sudah perlu pulang lewat dan panjang lagi kalau gua nak list memang tak muat. Gua masih gusar.
 

Hari rabu tiba bersama bos baru yang gua harapkan akan bersikap seperti pemimpin yang dekat dihati rakyat. Senang la gua nak claim ape2, mintak cuti, dan bagi main dart lepas waktu pejabat. Memang itu hari gua maen dart sebab bos pulang awal. Masa ni gua dapat kesan betapa jiwa gua sedang gusar. Gua tewas buat pertama kali selepas disanjung sebagai pejuang tanpa kalah. Pesaing2 gua tidak percaya. Gua kian gusar!
 

Hari Khamis gua tekad nak buat eksperimen. Jiwa gua bergolak deras mencari penjelasan yang tak kunjung tiba. Gua set satu training boling dengan opismate gua kat tempat gempak. Sunway. Pertaruhan, yang kalah bayar semua. Dengan jiwa yang gusar gua bersukan itu hari. Ternyata gua tak meleset. Gua kena bayar semua. Rekod gua pun kena pecah. Celaka punya gusar!

 
Jumaat menjelma dengan keadaan gua yang sudah tersedia lesu. Gua dah tak larat nak sambung layan gusar2 ni. Menjelang petang baru gua beransur2 sehat. Sebab gua sedar malam nanti gua ada “penawar” untuk penyakit gua ni. Pendek cerita, menjelang maghrib sms pun masyuk.



******

 

“Malam ni jadi macam biase eh”. Gua senyum nipis.

 

Mana gusar yang kerek tu? (getus hati gua berlagak)

 

 

p/s : gua dah syak gua rindu seseorang

Jul 19, 2010

Tagline

 

Lokasi : Restoran Thai Express

Ahli : Beramai2

 

Macam biasa bila perut sudah bergoyang, kitorang masuk la kedai makan Thai Express sebab dari luar Nampak menarik. Harap2 dalam pun menjanjikan hidangan yang enak dan eksotik. Dah tengok nama makanan kat menu memang ngam dengan selera. Pelik2 belaka. Siap ada Tagline.

 

******

Gua : “Waiter, mari sini. Abg Ptos nak order”.

Waiter : “Ye Abg Ptos”.

Ptos : “Bagi gua Thai Laksa with apekebende ntah. No 5019. Tagline dia hati yang kosong diselit bunga”.

Waiter : “Ok. 5019. Water sir?”

Ptos : “Asam Boi berbijik 4. No 8021. Tagline dia saperate boys from girls (ini betul). Gua Islamik”.

Waiter : “Ok. 8021. Its halal sir. Anything else?”.

 

******

Ptos : “Gua nak tambah tagline gua. Natt Chanapa ada?”

Waiter : “Erkk???

Jul 15, 2010

Audit

 
Proses audit merupakan suatu nightmare buat pekerja marhaen seperti gua. Nak2 pulak orang audit ni masuk dengan very short notice. Apa punya peraturan diorang pakai. Nak masuk tempat gua semalam, kelmarin baru kasi call. Surat pun tadak.

Menggelupur adrenalin gua nak kasi stenbai fail2 yang duduk ntah kat mana2. Belum cerita fail2 yang hilang, yang silap letak kat stor cleaner, yang buat lapik meja senget sebelah dan sebagainya. Nak2 pulak diorang mintak fail pagi semalam, memang pagi ini hari la baru dapat.

Biasanya listing fail mahu diaudit sudah kasi emel kat gua seminggu sebelum masuk. Senang la pekerja marhaen macam gua sempat nak geledah kat store, ambik kat bawah kaki meja dan kasi buat baru  fail2 yang hilang macam mekgaiver.

Tapi orang audit ni memang superb. Jangan harap la nak lari tanpa sebarang kekurangan. Mencari kekurangan tu memang masuk dalam KPI diorang. Tunggu je la nasib time diorang nak bentang hasil2 audit nanti. Orait, gua nak semayang hajat dulu. Mintak mata orang audit ni kabur2 sikit masa check fail gua.


p/s : member2 auditor gua tolong jangan emosi.

Jul 8, 2010

Raoul & 35 Tahun

 
Hari senin baru2 ni gua jejak la tempat2 menarik yang ada dalam The Gardens sebelah Mid Valley jajahan Kuala Lumpur. Gua nak highlight 2 kesah sadis yang terjadi sepanjang sessi jalan2 gua.
 
 
Situasi 1
 
Lokasi : Butik Raoul
Ahli : Gua, Dia, Yani
 
 
“Eehh, cantik la baju yang satu ni” Yani (sambil2 tangan menuding baju2 di rak).
 
Tiba2......

Prraaaaaappp!!! (Kesan bunyi rak baju2 mahal terkehel layu).
 
“Soorriiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii!!!” Yani
 
“Meh ibu mengandung, kita lepak kat sofa” Dia
 
 
Situasi 2
 
Lokasi : Area Perfume & Skincare
Ahli : Sama
 
 
“Set treatment ni berapa satu eh?” Yani
 
“Haaa, Yang ni untuk 35 Tahun ke atas. Sesuai untuk akak” Staff
 
“Erkkkkk” Dia
 
 
 
 
p/s : ​Situasi 1 tu gua tak ralat kalo kat kedai uptown
​ Situasi 2 tu gua tak salahkan staff sebab Yani sedang buyung
 

Jul 6, 2010

Darah Manis

 
Darah manis sering dikaitkan dengan insan2 yang sudah bertunang. Sebagai orang yang masih muda, gua  memang tak berapa paham sangat kenapa terma darah manis digunakan untuk golongan ini.
 
 
 
 
So, lu orang ada sebarang penjelasan?
 
 
 
 
p/s : orang bilang sekarang darah gua pun dah manis..

Jun 30, 2010

"ok, saya passing kat kaunter"...

 
Ini hari kantor2 bank seluruh negara akan buat proses month-end termasuk la dengan kantor gua. Macam biasala kalau sudah hujung bulan ni biasanya banyak la payment kena kasi clear.
 
Nak dijadikan cerita, opismate gua ada la satu cek nak diclearkan untuk tujuan yang agak2 urgent. Lalu memanggil la dia kepada Parjo (budak praktikal) untuk menghulurkan cek terbabit ke kaunter operasi.
 
 
Opismate : “Jo, tolong passing cek ni kat bawah”
 
Parjo : “Ok, nak kasi siapa bang?”
 
Opismate : “Ko bagi je sape2 kat bawah tu Jo. Pandai la diorang nak setel”
 
Parjo : “Kalau bagi kat pak gard boleh bang?”
 
 
******
 
 
Opismate : “Ko penah kena tembak dengan senapang pak gard?”
 
Parjo : “Ok saya passing kat kaunter”
 
 
 
 

Jun 29, 2010

Piwweeett!!

 
Opismate gua, Encik Ahmad baru melangsungkan walimatulurus bulan lepas. Semua dia punya kerja gua kena cover sepanjang dia pergi honeymoon.  Katanya ke Pulau Perhentian. Indah. Hidup gua minggu tu tak indah.
 
Masuk sahaja Encik Ahmad ke opis, gua pun bertegur sapa la sama dia dengan bercirikan budaya ketimuran.
 
 
 
Gua : “Nampak sunburn muka hang cik mat. Hang pi mana?”
 
Encik Ahmad : “Piwweeettt!!”
 
 
 
 
Notakaki : Lu nak gua kasi bakar muka lu lagi ka cik mat?
 

Jun 26, 2010

Gua Musang

 
Gua Musang merupakan salah sebuah daerah di selatan negeri Kelantan. Semalam gua baru dapat info menarik tentang daerah ni daripada seorang staff gua yang ada bau2 bacang dengan negeri Kelantan.
 
 
“Lu orang tau tak orang Kelantan tak panggil daerah ni Gua Musang”. Staff
 
 
“Kenapa pulak?”. Gua
 
 
“Orang Kelantan panggil Musang atau Muse (loghat Kelantan) sahaja”. Staff
 
 
“?????”. Gua
 
 
“Kalau lu agak2 teringin nak jadi musang lu sebut la penuh2 Gua Musang”.
 
 
 
 
 
“Ok gua sebut perkataan musang je la”….
 
 
 
 
 

Jun 21, 2010

M.C ~ "gua nak serah tugas..."

 
MC ni ada banyak maksud. Ramai orang suka bila maksud dia Mintak Cuti RM 10.00 kat klinik serbaneka. Tapi gua tak gemar mengambil MC ni sebab tu la bos sayang gua..
 
Maksud MC lagi satu orang biasa panggil Master of Ceremony. Perghh, nampak true pulak bila gua selit perkataan orang putih..
 
Bercakap pasal MC yang kedua, gua nak kasi story la gua punya pengalaman benar sejak gua berkecimpung dalam bidang pengacaraan ni. Tapi gua punya kes takde la sampai masuk tv ke radio ke. Cukup la stakat kenduri kawen sedara mara..
 
Gua bermula secara bidan terjun pada majlis pakcik gua yang terakhir awal millennium yang lalu atas dasar sinaran bakat gua yang telah dikesan (padahal secara paksa). Family belah mak gua memang ada sejenis tradisi suai kenal ahli keluarga pada malam persandingan mempelai..
 
Bakat pengacaraan gua diteruskan sehingga hari jumaat lepas di majlis kenduri sepupu gua. Ini sudah masuk kali ke-4 selepas kenduri abang gua tahun lepas dan adik gua awal tahun ni. Sayugia, di penghujung majlis sepupu gua ituhari gua ada satu request kepada semua hadirin..
 
 
 
“Gua nak serah tugas……” Suasana bertukar murung..
 
 
 

Jun 18, 2010

Jangan Goyang..

Lokasi : Pusat Karok Ceria
Lokasi Tepat : Lift Kapasiti Maksimum 7 Orang
Ahli2 : 5 Orang Tegap


"Lift ni biasanya bersikap lain macam". Gaban

"Maksud lu?". Gua

"Dia rajin berbunyi treeett bila melebihi kapasiti". Gaban



5 orang tegap seraya masuk sekaligus dengan satu nafas.



"Treeeeett!!". Lift


1 Orang (nama dirahsiakan) lalu keluar menghembus nafas..Lift kembali tenang..


"Cuba encik masuk tu jangan goyang". Gaban

"Yang kat dalam ni tolong jangan sandar pada dinding". Gua


Sekali lagi 1 orang tadi masuk kembali dengan mindset "jangan goyang".


"Treeeeett!!". Lift

"Ok gua tunggu next trip". 1 Orang



p/s : sila rujuk kembali kapasiti.

Jun 14, 2010

LABUH

 
Gua memang minat frasa2 yang melibatkan perkataan LABUH ni..Ini kerana perkataan ni boleh digunakan untuk situasi yang pelbagai..Antaranya…..
 
 
“Gua tengok rambut lu dah LABUH Ptos..Datuk pengarah tak sound ka?”. Gua
 
“Biarlah Alcapone..Kalo gua potong pendek orang bilang tak matured”. Ptos
 
 
******
 
“Gua tengok perut lu dah LABUH la Mel..Awek lu tak sound ka?”. Gua
 
“Biarlah Alcapone..Kalo gua kempiskan nanti awek gua tanak sandar”. Samel
 
 
******
 
“Gua suka betol bila Piala Dunia ni sudah meLABUHkan tirai”. Hasbullah Awang
 
“Haa..Dah nak start la lu punya ayat kegemaran”. Gua
 
“Hantaran Lintang!!”. Hasbullah Awang
 
 
 
 
p/s : gua nak tekankan bahang Piala Dunia je..
 
 

Jun 8, 2010

Pendek ke Panjang??

.

..

...

....

Haa tengok..Gua belum sempat tulis pape lagi lu orang dah pikir bukan2..

Jun 4, 2010

Keliwon

 
Petang semalam time opis gua dah masuk mood santai kami berdiskusi la pasal satu topic hangat. “keliwon”. Kebetulan pula ada sorang budak praktikal masuk baru2 ni berketurunan jawa. Dia memang into benar bab2 bertutur dalam bahasa jawa ni sampai nama samaran pun orang panggil ‘parjo’.
 
 
Parjo : “Abang tau tak apa meaning keliwon?”. Dengan loghat jawa.
 
Gua : “Gua tau sikit2 je la jo”. Jawab gua penuh diplomasi.
 
Parjo : “Kalau iklan sembur mulut tu panggil malam jumaat, orang jawa panggil malam keliwon”.
 
Gua : “Oooo”. Gua angguk tanda mendengar.
 
Perbualan kami diselang-seli dengan gurauan kepada opismate yang sudah berumahtangga. Ada juga yang berseloroh mahu singgah ke kedai serbaneka sebelum sampai ke rumah. Tiba2…..
 
 
Parjo : “Korang tau tak keliwon tu jugak bermaksud berselimut bersama”


 
Beramai2 : “OOOOooooooooOOOO!!!”
 
 

May 31, 2010

10

Bagi menyahut seruan persatuan blogger, gua pun mahu kasi lengkap entry bulan ni kepada dua digit. Berkesesuaian dengan title, gua ingt nak story sket pasal no 10 lah. Kenapa 10? Why 10? Limaza 10?

10 ni no jersi Safee Sali kat team Selangor. Gua perasan pun sebab rakyat Selangor anggap dia lebih true daripada Zidane si pemakai jersi no 10 juga untuk negara Perancis. Dah final world cup baru nak tanduk orang. Tapi gua sayang Zidane sebab die punya skill memang rare.

Ada lagi yang ngam dengan no 10 ni. Jumlah jari kaki. Untuk orang normal, memang ada 10. Tapi gua ada sorang member sek menengah dulu jari kaki ada 7 sahaja. Ini lagi rare. Dia memang tak boleh kerja menyamar jadi undercover sebab gua boleh cam kalau dia tak pakai kasut. Sebab tu sekarang dia kerja jadi chef. Jari kaki tidak berperanan.

Last sekali, tahun ni pun tahun 2010.

May 27, 2010

LHDN..

 
Gua baru dapat secebis cek daripada LHDN semalam membuatkan pagi gua ini hari berbunga wangi.
 
“Sukacita dimaklumkan permohonan lu nak refund potongan cukai ituhari sudah gua luluskan dan bersama ini gua sertakan cek bernilai RM 2**.09. Tahniah!”
 
Lebih kurang itu macam la die punya ayat nak kasi sejuk hati gua sebab yang gua kena potongan dah dekat RM 1,500.00.
 
Yang belen tu lu orang kawtim la sama2 kasi buat sekolah, masjid, dan sebagainya. Gua percaya kat lu orang sebab kat sampul tu ada tulis urusan Seri Paduka Baginda.

May 24, 2010

Kuala Kangsar

 
Gua ada trip jalan2 buat pasal ke Cameron Highland sambil perut mencaci kelaparan. Berlokasikan Bandaraya Ipoh yang kini sudah ada jalan ke sana melaui Simpang Pulai kami pun cuba berpikiran secara kritis. Macam biasa tengah2 sangap nasik otak pun sukar membuat keputusan lojik. Cadangan lantas di ambil dari watak2 berikut..
 
Watak Ramai 1 : beramai2
 
Watak Ramai 2 : juga beramai2
 
Watak A : watak kurang mahir geografi dan kali pertama pergi ke Cameron Highland.
 
Perbualan berikut lalu dicetuskan selang-seli dengan bunyi lagu dendangan fabuloso kitty berkumandang dicorong radio :
 
Watak Ramai 1 : Eh kita nak makan kat mana ha?
 
Watak Ramai 2 : Kat area2 Ipoh pun layan jugak. Perjalanan nak naik Cameron Takde kedai makan. Gerai orang asli jual bunga raya ada la.
 
Watak A : Jom makan kat Kuala Kangsar.
 
Watak Ramai 1 & 2 : ???
 

May 20, 2010

Top Gear..

Tiba2 dah ambek gambar ini aku terus struggle cari balik resume lama2 dulu nak kasi hantar kat majalah Top Gear. Agak2 aku dapat tak tolak Micheal Schumacher jadi STIG? Ikut sais tubuh sudah gerenti badan aku lagi ngam masuk kereta besar2.

Aku boleh bawak kereta stail2 Islamik siket sebab pakai baju melayu. Drag2 ala kadar, masuk kereta baca Bismillah, keluar kereta baca Alhamdulillah. Stailo tak?

notacagu : top gear dalam bahasa arab ape hah?

May 19, 2010

3 prinsip harus guna cari teman

1. Nobody's perfect.

2. Nobody's perfect.

2. Nobody's perfect.


Amacam, ada logik?

May 18, 2010

18.05.1961

Arwah atok dan nenek aku pernah berhikayat sesungguhnya pada tanggal 18 Mei 1961 telah lahirlah seorang puteri yang chantik rupawan. Aku dengan big brader aku yang masih hijau pun terngaga2 mendengar hikayat diorang sambil diperhatikan oleh bapak aku yang sedang sengih2 kat tepi daun pintu ala koboi menghala dapur.

Diorang sambung la hikayat tu sampai la kami terlena. Tapi apa yang aku dapat simpulkan masa tu, puteri yang dihikayatkan tu ada ngam2 jugak dengan karakter mak aku. Walaupun aku masih hijau, aku sudah pandai buat kesimpulan. Terima kasih kepada minuman milo kosong dalam botol susu yang membuat aku sihat dan kuat. Mak yang buat.

******

Jadi dikesempatan ini aku nak ucapkan selamat hari lahir buat Mak aku. Mak masih muda dan steady. Cayalah!!

"Asun sayang mak"

May 17, 2010

Kek , Seframe Dua & Game 50 sen..

Semalam aku gerak ke Melati nak setel beberapa perhitungan. Menanti aku di sana 2 orang brader yang boleh tahan kacak tapi maseh di bawah level Govinda. Pukul 8.45 kat kedai panel western Mak Wan aku sudah kasi tunggu brader2 tu dengan diplomasi.

Pukul 9.05 baru nampak bayang Honda City 1.5E vtec lalu sambil memandang sinis dekat aku lalu berkata “sorang je bang?”. Aku jeling separuh tajam. Diorang tak tahu dah 3 table perniagaan Mak Wan pecah kat belakang kedai sebab aku naik berang ketika menunggu. Aku sering jadi bengis dan garang sekiranya terpaksa menunggu dalam kelaparan.

******

Selesai makan2 baru hati aku ada sikit reda. Atas rasa diplomasi tadi aku pun tunjuk la sisi terang siket kat brader2 ni. Park Ji Sung a.k.a Ptos sudah cukup 27 tahun semalam dan sebagai penghargaan aku beli la sebijik kek buat dia rasa taching. Katanya semenjak hidup sering sendiri ni hati pun sudah jadi sekeras keluli.

******

Sampai la aku kepada cabaran kedua yang dah dapat signal sejak dari tadi. Leman si empunya nama memang dah lama memendam rasa curiga terhadap tahap improvement aku dalam sukan ni. Kami pun gerak la ke kedai panel 2K kat danau kota dengan harapan hantu Jimmy White merasuk aku ini malam.

Ptos yang enggan bermain aku kasi hantar main mesin game 50 sen dalam kedai panel tu jugak. Tapi satu benda aku nak komplen sebab ini kedai letak mesin game 50 sen tapi takde tukar syiling 50 sen. Apela bengong punya bisnes. Tapi Ptos hatinya cekal. Dia pergi tukar syiling dekat kedai mamak A-Malik sambil kena maki.

Aku dengan Leman kasi sambung seframe dua seraya kecurigaannya sebentar tadi ternyata meleset. Hantu Jimmy White yang aku seru sejak dari tadi tak sampai2. Aku punya kayu penunjal pun 8 kali sudah kasi tukar nak buat alasan. Tewas la aku 2 frame tu dengan markah di bawah par. Kalau main golf sudah pasti aku yang menang.



Notahati : Lu orang agak2 sendiri la aku main sukan ape.

May 11, 2010

MPSJ samb..

 
“CHELSEA julang piala, MPSJ julang kereta”
 
 
Ayat keramat ni aku kasi sambung sebab akhir2 ni MPSJ memang steady. Rilek2 je tow truck kaler biru tua kasi tarik kereta orang parkir luar kotak standard. Nak2 pulak yang kasi block parkir belakang kereta dalam kotak.
 
Tak sempat tuan punya kereta nak tekan alarm bukak kunci, brader tow truck ternyata lebih berpengalaman pasang clamping tayar. Terjelepuk la tuan punya kereta dengan mata berkaca. Brader tow truck sambung cari mangsa dengan mata merah menyala.
 
Tambahan pulak markas MPSJ sekarang sudah ada cawangan baru kat tempat aku ni. Aku ‘reki’ pagi2 sudah ada 3 bijik tow truck kasi stenbai dekat pintu pagar. Diorang ingat aku goyang. Tanggapan diorang ternyata meleset.
 
*******
 
Sekarang kereta orang2 opis aku MPSJ ‘terpaksa’ pandang sebelah mata sebab ada nota sudah kasi selit kat wiper. “Brader parkir, lu nampak hensem la ini hari”. Itu pasal la kitorang sempat je bayar parkir dimasa kecederaan walaupun ada yang dah berpengalaman hantuk pintu sebelum ni.
 
 
 
Notakaki : nak sambung episode baru ke tak hah?

May 6, 2010

MPSJ..

 
“Mesra, Tegas & Agressif”
 
Itulah motto gerak kerja MPSJ kat tempat aku yang dah semakin mencengkam jiwa sehingga ke tulang sumsum para peletak kereta..Tapi sebelum aku meracau lebih lama biar aku perkenalkan apa nama panjang MPSJ ni..Majlis Perbandaran Subang Jaya..Tak menakutkan langsung kan..Motto tu pun aku reka2 je..
 
Kebetulan kawasan aku (Puchong) jatuh dalam kawasan jajahan MPSJ..Secara langsung aku pun tergolong dalam kategori jiwa tercengkam tadi..Aku kasi story sket kat lu orang satu situasi menarik..
 
”MPSJ!!..MPSJ!!”…..suara intercom telepon opis aku dari tingkat bawah..
 
Tak sampai sejurus lepas tu tiba2 pintu opis aku dh jadi macam pintu LRT orang nak keluar kat stesen masjid jamek..Merusuh nak keluar pergi bayar parking kat ‘mesin kerap rosak disaat panik’..Yang terseliuh kaki jatuh tangga je dah ade 2 orang, terhantuk pintu adela sorang..Aku pulak masih sehat walafiat..
 
Duit siling sudah kasi stenbai satu kantung kecik design teddy bear..Asal sampai je time nak bayar parking memang mesin ni pandai buat hal..Ada satu kali tu aku masuk lima posen tak lekat2, aku kasi cancel terus siling keluar macam kena jackpot..Brader yang bayar sebelum aku terus jeling2 macam ada bayar lebih..Aku tak goyang..
 
 
Bersambung..
 
 
Notakaki : pas bulanan parking MPSJ bapak mahal..RM80..akai ada ka..
 
 

May 4, 2010

Selamat Tahun Baru

Apela punya barai ini blog. Dah bulan Mei baru nak ucap selamat tahun baru. Orang dekat afrika lagi maju. Lagi 2 jam
nak masuk bulan Januari pun diorang dah stenbai 3 ekor ular sawa nak buat baju. Daging kasi buat masak lemak cili padi. Jadi untuk nampak maju siket aku pun bangun la dari tidur aku yang dah meleret 4 bulan ni.

Tapi aku tak keras macam si tanggang mahupun malin kundang anakku sayang. Dalam suku pertama tahun 2010 ni je aku dah chop paspot aku 2 mukasurat. Dalam perkiraan aku pencapaian ni dah lebih power daripada faizal tahir sebelum dia bayar ptptn. Lagi gempak daripada micheal schumacher yang belum naik podium.

Tambahan lagi kedudukan aku semakin bujang2an lepas adik aku berumahtangga. Die kasi angkut semua alatan cyber cafe dalam
rumah aku bertandang ke rumah baru. Tak praktikal langsung budak dah kawen ada cyber cafe dalam rumah (ayat cemburu makhluk tiada komputer). Kemarahan aku diterjemahkan ke low yat lalu menghasilkan sebijik henpon skrin sentuh (sedang aku guna sekarang).

Jadi korang doakan la aku sentiasa sehat dan berilham nak update entry blog ni. Lagi mengharukan kalau aku dapat satu komputer atau leptop jenama terkenal bagi menaikkan selera aku nak menulis.